KAJANG — Hanya kerana perselisihan faham berkaitan motosikal yang dipinjamkan tetapi tidak dipulangkan, seorang pemuda cedera ditikam rakan yang meminjam kenderaan itu di Semenyih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata polis menerima maklumat mengenai pemuda berusia 23 tahun itu cedera ditikam di sebuah pangsapuri pada jam 2.51 petang dan mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian terbabit berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan seorang rakannya apabila suspek gagal memulangkan motosikal mangsa yang dipinjamkan sejak bulan lalu.
“Ketika pertemuan di rumah kakak mangsa semalam, akibat dimarahi mangsa, suspek mengambil pisau di dapur rumah dan mengejar lalu mencederakan pemuda terbabit.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu sebelah kiri.
“Bagaimanapun mangsa dalam keadaan sedar serta stabil dan kini ditahan di Wad Hospital Kajang bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau kedua-duanya sekali.
“Suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan. Polis Daerah Kajang menasihatkan masyarakat sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang di Malaysia,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian itu atau maklumat berkenaan suspek boleh berhubung terusdengan balai polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan.
BH ONLINE