TANAH MERAH — Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Batu Hitam dekat Kampung Batang Bergedik, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun yang juga seorang penganggur meninggal dunia di Hospital Tanah Merah semasa menerima rawatan manakala seorang lagi mangsa berusia berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pemandu jentera disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 18 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Gual Ipoh menghala ke Kampung Peralla.

Katanya, apabila sampai di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung secara berhadapan dengan seorang lagi mangsa berusia 45 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah ke Kampung Peralla ke Gual Ipoh.

“Sementara itu, seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss yang berada di belakang motosikal lelaki berusia 45 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa berusia 18 tahun yang berada di atas jalan raya.

“Akibat daripada kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh di atas jalan raya dan dua daripada mereka meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut di hantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat manakala mangsa yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Gual Ipoh.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haki memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Afiq Mohd Sulaiman di talian 013-3533653.

BH ONLINE