KUALA LUMPUR – Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQF) menggesa Mesir memainkan peranan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Gesaan itu disuarakan dalam satu himpunan aman di hadapan pejabat Kedutaan Mesir, Jalan Ru di sini, hari ini, yang dihadiri kira-kira 100 anggota perubatan terdiri daripada doktor dan petugas kesihatan.
Pengerusi MWCQF, Zuraidah Kornain, berkata selain himpunan aman hari ini, pihaknya yang mewakili gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), tokoh individu (NGI) dan pihak berkepentingan turut menyampaikan satu memorandum rayuan kepada Kedutaan Mesir, semalam.
“Kita menggesa kerajaan Mesir menolak melabelkan pejuang pembebasan Palestin sebagai pengganas sebaliknya mengiktiraf hak mereka yang sah untuk mempertahankan negara.
“Kerajaan Mesir juga perlu memimpin Pakatan Arab-Islam dan mendorong penubuhan pakatan itu terdiri daripada negara-negara bersatu dalam mengekalkan tekanan politik,” katanya kepada media, hari ini.
Katanya, Pakatan Arab-Islam ini perlu bersatu untuk menghentikan pembunuhan di Gaza, memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan serta memberi rawatan penting kepada yang cedera.
Selain itu, katanya pakatan itu juga diharapkan dapat menganjurkan penyelesaian pelanggaran berterusan oleh Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“MWCQF membayangkan kerjasama ini sebagai usaha yang kuat ke arah keamanan, dengan Palestin berfungsi kepada penunjuk arahnya.
“Kami dengan penuh harapan meminta bukan sahaja daripada Mesir, malah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Gaza,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap ‘layanan kasar’ yang diberikan pihak Kedutaan Mesir di ibu negara, ketika pihaknya cuba menyampaikan memorandum secara baik, semalam.
Sedangkan, katanya kedutaan Amerika Syarikat (AS); Pesuruhjaya Tinggi British, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) serta beberapa kedutaan lain menerima baik kehadiran mereka.
Sementara itu, Penasihat Kehormat MWCQF, Dr Fauziah Mohd Hassan, berkata pihaknya tampil pada himpunan aman hari ini bagi mewakili gabungan global yang menentang pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’ ke atas rakyat Palestin.
“Kami sebagai petugas perubatan dari Malaysia bersama rakan lain di seluruh dunia amat terkejut dengan apa yang berlaku di Gaza, hospital-hospital dibom dan diserbu.
“Semalam, hospital terbesar di Gaza iaitu Hospital Al-Shifa diserbu oleh tentera dan kereta kebal tentera Zionis sedangkan di bawah Konvensyen Geneva, hospital perlu dilindungi,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pekerja kesihatan, adalah terikat dengan prinsip untuk tidak membahayakan, melindungi dan menghormati nyawa manusia.
“Oleh itu, seruan doktor Israel untuk memusnahkan hospital di Gaza itu amat dikecam sekeras-kerasnya. Ianya satu pengkhianatan terhadap etika perubatan dan bertentangan dengan ‘Hippocratic Oath’ kami.
“Oleh itu, kami menyeru kerajaan dunia untuk menuntut gencatan senjata segera, dan membenarkan bantuan kemanusiaan dan perubatan tanpa halangan dan berterusan ke seluruh Gaza,” katanya.
Tambahnya, umum mengetahui Gaza dibahagikan kepada selatan dan utara, dan kebanyakan bantuan hanya sampai ke bahagian selatan, justeru mereka mahu semua bantuan sampai ke dua-dua bahagian.
“Kami menyokong penuh seruan kerajaan Malaysia untuk menghantar pasukan perubatan ke Gaza untuk menyokong dan membantu rakan sekerja kami di Gaza yang keletihan.
“Seterusnya menawarkan khidmat kami kepada rakyat Palestin yang cedera dan sakit yang kini berada dalam keadaan yang amat kritikal,” katanya.
BH ONLINE