GOMBAK — Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kapten Mohamad Halim Ahmed yang didakwa di Mahkamah Sesyen, Khamis lalu sudah diarahkan bercuti.
Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata, Mohamad Halim sudah diarahkan mengosongkan pejabatnya sementara kes mahkamah itu berjalan.
Beliau bagaimanapun berkata, arahan itu adalah prosedur biasa dalam perkhidmatan awam sekiranya ada penjawat yang dituduh di mahkamah.
“Beliau sudah mengambil cuti walaupun doktrin yang mendapati beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah masih lagi terpakai.
“Dalam prosedur perkhidmatan awam, beliau diminta mengambil cuti dan mengosongkan pejabat dan sementara kes itu berjalan di mahkamah, beliau tidak akan melaporkan diri untuk bertugas,” katanya.
Loke berkata demikian selepas hadir dalam lawatan Program Pematuhan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, hari ini.
Khamis lalu, Mohamad Halim, 57, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menipu bekas ketua pengarah terdahulu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan bagi membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohamad Halim mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan didakwa menipu Ketua Pengarah JLM ketika itu Datuk Baharin Abdul Hamid dan memperdayakannya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2020 yang menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian untuk membawa ‘heavy grade oil’ dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang diluluskan’ sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.
Perbuatan itu menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia, Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang, di sini pada 27 Oktober 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BH ONLINE