RAUB – Polis menerima tiga laporan yang mendakwa penjawat awam dihalang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kerajaan negeri sejak 8 April lalu terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan, di sini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, ketika mengesahkan perkara itu berkata tiga laporan itu dibuat oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak polis dengan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya mengawal keadaan tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini pada hari kejadian.
“Ketika kejadian, kira-kira 50 pekebun (didakwa) menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka susulan operasi penguatkuasaan memusnahkan tanaman yang dipercayai telah ditanam sekitar 30 tahun lalu.
“Anggota polis bersama PGA Batalion 7 bagaimanapun berjaya mengawal keadaan tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Mohd Shahril sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak terbabit sebarang perhimpunan bantahan berkaitan operasi itu.
Beliau menjelaskan bahawa pihak terbabit perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di daerah ini pada Julai tahun lalu.
Kelmarin, anggota UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub, polis serta PGA Batalion 7 telah disekat laluan oleh sekumpulan pekebun haram yang didakwa berdiri di tengah-tengah jalan Kampung Sungai Chalit dengan turut disertai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, sebagaimana rakaman video yang tular dalam media sosial.
Pihak berkenaan didakwa tidak berpuas hati susulan operasi penguatkuasaan menangani pencerobohan tanah kerajaan negeri, dengan diketuai UPNP yang menyasarkan pemusnahan tanaman pokok durian Musang King membabitkan keluasan lebih 202.34 hektar di kawasan sekitar Sungai Ruan.
BH ONLINE